OGOS 2022

Lapangan Terbang Baharu Lawas Guna Tenaga Hijau Manfaatkan Penduduk


KUCHING: Lawas memerlukan lapangan terbang baharu yang lebih besar, mesra pengguna selain menggunakan tenaga hijau untuk memberi manfaat kepada penduduk bahagian itu dan kawasan sekitar.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, selain itu, lapangan terbang itu juga akan memberi perkhidmatan kepada kawasan yang lebih besar terutama ke bahagian-bahagian lain di Sarawak, Sabah, Brunei dan Indonesia.

“Pada masa sama, ia untuk menampung kemasukan pelancong perniagaan dan riadah ke bahagian itu agar sama-sama menyertai aktiviti ekonomi dan pelancongan.

“Lapangan terbang baharu itu penting kerana ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di wilayah utara,” katanya semasa melakukan penutupan makmal penilaian lapangan terbang baharu Lawas di sini.

Awang Tengah yang juga Pengerusi Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA)berkata, makmal penilaian itu berjaya disiapkan selama dua hari untuk menilai cadangan lapangan terbang baharu Lawas di Sundar.

Ia dihadiri perunding dan pegawai dari pelbagai agensi kerajaan berkaitan, makmal tersebut berusaha untuk mengumpul input dan maklum balas mengenai perancangan dan reka bentuk sistem, kerja seni bina, kerja mekanikal dan elektrikal untuk projek ini.

“Ia untuk mencapai nilai yang lebih baik dan kos optimum,” katanya.

Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) merupakan agensi pelaksana bagi cadangan lapangan terbang baharu itu.

Menurutnya, kerja-kerja pembinaan lapangan terbang baharu ini dijangka bermula pada suku pertama tahun depan dan dijangka siap menjelang akhir 2026.

Lawas kini dikendali lapangan terbang landasan pendek (STOLport) sedia ada yang beroperasi sejak 1961.

Walaupun dinaik taraf 1996, STOLport mengalami isu-isu tertentu seperti banjir manakala peningkatan penumpang menyebabkan STOLport tidak dapat menampung permintaan yang meningkat.

Kementerian Pengangkutan Malaysia yang menjalankan kajian kemungkinan pada 2016 mengesyorkan lapangan terbang baharu dengan panjang landasan 1,500 meter (m) boleh memuatkan pesawat ATR 72-500 untuk dibangunkan.

Selain itu, Awang Tengah berkata beberapa projek mega lain turut dibina seperti Lebuh raya Pantai Utara (NCH), Sarawak Sabah Link Road (SSLR) dan Lebuh raya Trans Borneo (LTB) yang akan dilengkapi dengan lapangan terbang baharu itu.

“RECODA telah menyelesaikan kajian untuk cadangan pelabuhan laut dalam baharu di Lawas manakala kementerian saya kini dalam usaha menyiapkan pelan induk pembangunan terminal perindustrian yang merupakan sebahagian daripada strategi untuk membangunkan hab petrokimia di Lawas.

“Kedua-dua kajian ini bertujuan mengenal pasti faktor kejayaan kritikal dan ekosistem untuk menyokong cadangan pertumbuhan dan pembangunan industri petrokimia di rantau ini,” katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti